Pencapaian cemerlang UTM dalam RICS-ISM 3rd International Surveying Conference for Undergraduates 2011
34 orang mahasiswa Sarjana Muda Ukur Bahan dan Sarjana Muda Sains Pembinaan, UTM telah menyertai persidangan tahunan yang dianjurkan bersama oleh The Royal Institution of Chartered Surveyors (RICS,UK) dan Pertubuhan Juruukur Malaysia (ISM) yang dikelolakan oleh Universiti Sains Malaysia (USM) pada 18-19 Mac 2011.
RICS merupakan sebuah organisasi terulung di dunia bagi profesion juruukur dalam bidang hartanah, pembinaan dan lain-lain bidang berkaitan. RICS telah mengakreditasi lebih 500 program ukur di seluruh dunia. ISM pula merupakan sebuah pertubuhan kebangsaan yang memayungi 4 bidang ukur utama iaitu Ukur Bahan, Ukur Bangunan, Ukur Tanah & Geomatik dan Penilaian Hartanah.
Dengan tema “Surveyors of the Future: The Challanges of Change”, persidangan ini bermatlamat untuk memperkukuhkan jaringan di kalangan pelajar di kepulauan Asia dan menjadi platform yang penting bagi mahasiswa untuk berinteraksi dan bertukar hasil penyelidikan dan pengalaman mereka. Universiti yang terlibat terdiri daripada USM, UTM, UM, UiTM, UTAR (Kampus KL), UTR (Kampus Kampar), Universiti Kolej Taylor, Hong Kong Polytechnic University (Hong Kong), Chongqing University (China), Huazhong University of Science and Technology (China), Assumption University of Thailand (Thailand) and Thammasat University (Thailand). 18 kertas kerja telah dibentangkan oleh mahasiswa pra-siswazah dalam 5 sidang selari. Sebagai tambahan, terdapat 5 kertas kerja telah disampaikan oleh wakil industri dan ahli akademik ketika sidang pleno. Mereka terdiri daripada PP Sr Dato’ Mani Usilappan (RICS), Professor Mike Riley (Liverpool John Moores University, UK), Professor Roger Flanagan (University of Reading, UK), Sr Ahmad Suhaimi Abdul Majid (RICS) and Sr Dr. Adi Irfan Che Ani (ISM).
UTM telah diwakili oleh 4 orang mahasiswa tahun akhir Sarjana Muda Ukur Bahan iaitu: Chong Yaw Fatt, Nur Farah Farhana Rasid, Tan Choon Boon dan Joanna Tay Yuan Ju yang telah membentangkan kertas kerja hasil daripada projek penyelidikan pra-siswazah mereka. UTM telah berjaya memenangi 3 daripada 5 “Anugerah Pembentang Terbaik” dan Joanna Tay Yuan Ju turut memenangi “Special Mention Paper Award” dengan kertas kerja bertajuk “Anticipating Issues Concerning Disputes in Statuotary Adjudication under Construction Industry Payment and Adjudication Act (CIPAA) in Malaysia”. Setiap pemenang menerima trofi dan sijil penghargaan daripada pihak penganjur. Selain itu, UTM turut mengungguli “Anugerah Persembahan Terbaik” dalam Pre-Conference Dinner melalui persembahan Tarian Kipas. Sesungguhnya ia merupakan pencapaian yang amat baik dalam penyertaan persidangan tahunan kali ini.






0 comments:
Post a Comment