Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh dan Salam sejahtera kepada semua. ^^
Alhamdulillah, bersyukur kita kepada Allah kerana dengan segala limpah kurnia-Nya kita dipertemukan lagi. Selesai sudah Program pertama Persatuan QS-Bina bagi tahun 2011. Sesungguhnya, walaupun dengan masa yang begitu singkat banyak pengalaman dan pengetahuan dapat ditimba. Bak kata pepatah, "Jauh perjalanan, luas pengalaman".
Pada hari Jumaat lepas, 25 Februari 2011 6.00 petang, semua pelajar berkumpul di Perhentian Bas FAB, UTM. Seramai 74 orang pelajar dan 2 orang pensyarah pengiring yang menyertai program ini dengan menaiki 2 buah bas. Pensyarah yang mengiringi kami ialah Prof. Madya Sr. Zakaria bin Mohd Yusof dan Encik Syamsul Hendra bin Mahmud. Tepat pada pukul 6.30 petang, bas pertama bertolak dahulu diikuti bas kedua. Bas kemudiannya berhenti seketika di tol skudai bagi memberi ruang kepada penumpang untuk membeli kudapan ataupun melepaskan hajat. Di sini, kami telah dikejutkan dengan satu berita bahawa tempat duduk tidak cukup dan mengakibatkan seorang pensyarah pengiring terpaksa menaiki kenderaan sendiri. Hal ini amat mendukcitakan kerana terdapat pelajar yang tidak tersenarai menumpang bas kami. Pihak kami amat memohon maaf kepada pensyarah pengiring, Encik Syamsul Hendra bin Mahmud di atas kesulitan yang dihadapi.
Pada pukul 9.00 malam, bas sampai di Hentian Ayer Keroh Melaka. Semua pelajar dan pensyarah dibenarkan untuk makan dan melaksanakan tanggungjawab solat jamak bagi yang beragama Islam. Di sini, kami berhenti selama satu jam. Kami kemudiannya meneruskan perjalanan ke UTM KL, Jalan Semarak. Kami tiba di UTM KL lebih kurang pada pukul 11.30 malam.
Di UTM KL, mahasiswa dan pensyarah diberi kunci bilik di mana setiap bilik dikhaskan untuk dua orang. Di UTM KL, penginapan adalah begitu selesa dan harga juga berpatutan iaitu RM 7.00 seorang. Di sini, kami dikehendaki untuk bersiap seawal jam 7.00 pagi. Kami bertolak dari UTM KL ke UiTM Shah Alam pada pukul 7.30 pagi.
Setibanya kami di Fakulti Senibina Perancangan dan Ukur (FSPU), UiTM Shah Alam, kami ditunjukkan dan diberi kunci bilik untuk menyimpan barang. Kami kemudiannya diberikan sarapan nasi lemak dan teh tarik setiap seorang. Selepas bersarapan, kemi dikehendaki ke Dewan Kuliah bagi mendengar 'Professional Talk'.
Bagi sesi pertama ini, terdapat tiga orang penceramah telah dijemput bagi memeriahkan sesi ini iaitu Assoc. Prof. Dr. Aini Jaafar yang memberikan ceramah bertajuk 'Your Future', Assoc. Prof. Sr. Hasmawati Harun yang memberikan ceramah bertajuk 'Quantity Surveyors in The 21st Century - Towards a Sustainable Future'. Kedua-dua penceramah adalah dari UiTM Shah Alam dan tajuk yang dibentangkan sangat menarik dan sangat berguna untuk dijadikan panduan oleh Mahasiswa. Manakala penceramah dari UTM pula ialah Prof Ahmad Rosdan bin Razak tajuk yang sangat memberi kesan kepada Mahasiswa iaitu 'Ichiban (The best or No. 1)'.
Pada pukul 12.00 tengahari, sesi ceramah selesai. Sesi diteruskan dengan majlis penyampaian cenderahati oleh wakil dari UiTM kepada wakil dari UTM dan sebaliknya. Sesi berbalas cenderahati disambut meriah dengan usikan para pensyarah dan mahasiswa kerana turut tidak ketinggalan sesi menyerahkan cenderahati 'dari hati ke hati' Pengarah program dari UiTM, saudara Mohd Ajib bin Alias kepada Pengarah Program dari UTM saudari Nadirah binti Darus. Mereka merupakan orang kuat yang bertungkus lumus untuk menjayakan program ini.
Setelah selesai, semua jemputan, tetamu, pensyarah serta mahasiswa dijamu makan tengahari. Mahasiswa diberi masa untuk makan dan menunaikan solat Zohor di surau FSPU dan dikehendaki untuk siap pada pukul 2.00 bagi meneruskan sesi seterusnya.
Tepat pada pukul 2.00 petang, kesemua pelajar UTM JB dan UiTM berkumpul di hadapan Fakulti bagi mendengar taklimat aktiviti seterusnya iaitu 'Explorace'. Seramai 14 orang Mahasiswa lelaki UTM JB menyertai perlawanan futsal dengan Mahasiswa UiTM yang mewakili 2 pasukan. Bagi 'Explorace', seramai 36 kumpulan yang terdiri daripada Mahasiswa UTM dan UiTM bergabung bagi menyiapkan dan menyelesaikan setiap tugasan yang diberi. Terdapat 10 tugasan yang perlu diselesaikan dan 'checkpoint' terletak di seluruh kawasan UiTM dan Mahasiswa tidak dibenarkan bergerak dari satu tempat ke satu tempat dengan menaiki kenderaan. Masa yang diberi untuk menyelesaikan tugasan ialah selama tiga jam.
Semua mahasiswa dari UTM-UiTM dilihat bekerjasama dengan begitu gigih bagi menyelesaikan tugas masing-masing. Tali sillaturrahim terjalin sesama mereka. Tugasan yang nampaknya agak sukar bagi kebanyakan peserta adalah mengambil kertas di dalam botol yang berisi ulat sagu. Tepat pukul 6.00 petang, semua peserta selamat kembali ke 'checkpoint' pertama.
Kesemua peserta kelihatan penat, namun gembira kerana dapat berkenalan dengan teman baru dan saling bertukar serta berkongsi idea sesama mereka. Mahasiswa kemudiannya diberi waktu untuk berehat dan persiapan kendiri sebelum solat maghrib berjemaah. Selesai solat magrib berjemaah, tazkirah diberikan bagi memantapkan lagi rohani para peserta.
Tepat pukul 9.00 malam, mahasiswa dari kedua-dua buah universiti ke khemah yang disediakan di fakulti bagi sesi makan malam atau 'barbeque' yang disediakan oleh mahasiswa UiTM. Majlis dimulakan dengan bacaan doa. Kemudiannya ucapan oleh Presiden Persatuan Ukur Bahan (PERUBAHAN) saudara Mohd. Izzudin, diikuti oleh Presiden Persatuan QS-Bina UTM JB saudara Mohd Husrizal. Sterusnya ucapan penutup diberikan oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar FSPU, UiTM, Dr. Hajjah Noriah Othman.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan upacara makan malam. Makanan yang disediakan adalah mihun goreng, ayam bakar, sosej bakar dan air milo. Semua mahasiswa serta para VIP makan sambil beramah mesra diantara satu sama lain.
Majlis kemudiannya dimeriahkan lagi dengan majlis penyampaian hamper bagi acara futsal dan 'explorace'. Bagi futsal, pasukan dari UTM Johan keseluruhan diikuti pasukan dari UiTM sebagai Naib Johan. Manakala tempat ketiga pasukan dari UTM dan tempat keempat pasukan dari UiTM.
Kesemua peserta 'explorace' menerima hadiah 'hamper' masing-masing kerana telah memberi komitmen dan kesungguhan yang tinggi. Selesai majlis penyampaian hadiah, semua mahasiswa bergambar bersama rakan baru masing-masing di samping beramah mesra. Majlis 'BBQ' berakhir pada pukul 11.00 malam.
Mahasiswa UTM kemudiannya kembali ke bilik penyimpanan barang untuk bersiap-siap untuk pulang. Kami sampai di UTM JB lebih kurang pada pukul 3.30 pagi.
Melalui program ini, kami dapat mempelajari pelbagai perkara baru dari segi budaya, cara pergaulan, cara belajar, cara pengurusan dan sebagainya. Walaupun kami telah mencuba sedaya upaya kami, namun masih terdapat sedikit kekurangan. Diharap semua Mahasiswa dan para Pensyarah berpuas hati dengan program pertama QS-Bina pada tahun 2011 ini. Yang baik dijadikan tauladan, yag buruk dijadikan sempadan. Sesungguhnya yang baik itu datang dari Allah s.w.t. dan yang buruk itu datang dari kami.
Gambar-gambar menarik sekitar program dan aktiviti akan dimuatnaik sedikit masa lagi.
Sebarang cadangan, komen atau pendapat boleh lah ditinggalkan diruangan komen atau di Facebook. :)
Selesai sudah Delegasi UTM JB ke UiTM Shah Alam [Bahagian 1]
Dikongsi oleh :
Persatuan Mahasiswa Ukur Bahan - Pembinaan Universiti Teknologi Malaysia
Thursday, March 3, 2011
0 comments:
Post a Comment